Monday 4 July 2011

KEKALKAN KESUCIAN KALIMAH ISLAM DARI TERCEMAR OLEH LGBT

Islam itu datang dengan kebenaran. Tiada yang bercanggah atau canggung. Amat sempurna tanpa ada cacat cela. Keindahan dan kebenaran yang terpancar daripadanya diakui bukan sekadar oleh mereka yang meyakini bahawa Allah itu Tuhan yang Maha Esa dan Muhammad bin Abdullah s.a.w RasulNya tetapi oleh mereka yang tidak mempunyai aqeedah suci. Itulah Islam, agama yang menjadi petunjuk kehidupan dan pembawa kebahagiaan.

Bagi mereka yang meyakini Islam melalui iqrar di hati, pengakuan lidah dan kepatuhan tingkah laku mereka disebut sebagai Muslim atau dalam perkataan lain dikatakan orang Islam. Muslim atau orang Islam dalam melalui ujian kehidupan ada yang mampu mentaati segala ajarannya dan ada juga yang tidak berapa taat dengan melanggar tegahan-tegahan Agama yang dinyatakan di dalam Kalam Tuhan dan Sabda UtusanNya. Ada juga yang mampu mematuhi segala titah perintah Tuhan dan RasulNya dan ada juga yang tidak mematuhi sepenuhnya. Golongan yang tidak mampu mentaati segala perintah dan terjerumus di dalam kancah melanggar suruhan-suruhan yang telah termaktub di gelar sebagai aasi (orang yang membuat maksiat). Mereka tidak terkeluar dalam kelompok Muslim selagi mana mereka tidak menyekutukan Tuhan dan membuat perkara-perkara yang boleh menyebabkan mereka terjerumus di dalam golongan yang terkeluar daripada Islam.

Walaupun terdapat mereka yang tidak taat perintah Islam tetap gah dan ia tetap suci lagi benar. Tidak tercemar namanya walaupun ada golongan yang menjadikan ia sebagai pegangan tidak mematuhi segala yang termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah As-Sohehah. Oleh yang demikian, di dalam negara yang menjadikan Islam sebagai Agama rasmi dan menjenamakan negara tersebut sebagai negara Islam difikirkan amat perlu merasa sensitif dan melarang mana-mana pihak untuk memajmukkan perkataan Islam, Muslim atau yang sinonim dengannya dengan beberapa perbuatan yang bertentangan dengan tabii unjuran Islam. Walaupun ini dikatakan tidak masuk akal atau boleh dicabar tetapi demi menjaga keindahan Islam tersebut ia dirasakan amat perlu dilaksanakan.


Iman ke? Adakah beriman jika apa yang diperjuangkan tiada keimanan yang terpancar. inilah apa yang dipromosikan di http://www.imaan.org.uk/ . Adakah akan ada sepertinya di negara kita satu hari nanti?

Antara perkataan-perkataan yang perlu dibuat kawalan dan larangan adalah LGBT MUSLIM. LESBIAN MUSLIM. GAY MUSLIM. BISEXSUAL MUSLIM. TRANSEXSUAL MUSLIM. Perkataan-perkataan tersebut amat menjijikkan untuk disebut atau dipromosi di dalam penulisan dan ucapan-ucapan. Ini kerana Islam tidak pernah bersetuju dengan perbuatan-perbuatan tersebut walaupun tidak dapat dinafikan ada penganut Agama ini terlibat dengan aktiviti-aktiviti tersebut. Ia amat menyentuh sensitiviti agama sekiranya ia diguna dan disebut dan hakikatnya satu undang-undang perlu digubal dan mengenakan tindakan kepada mereka yang mempromosikannya.

Baju yang dipromosikan oleh kumpulan yang mendakwa Islam dan beriman tetapi menyokong LGBT di laman web http://imaanshop.spreadshirt.co.uk/halal-lesbian-A16374940/customize/color/1


Ini diutarakan demi membuat bantahan awal sebelum ia menjadi barah pada masa akan datang. Memandangkan di beberapa buah negara yang merasakan mereka maju dan cemerlang telah menjijikkan perkataan-perkataan Islam, Muslim dan yang sinonim dengannya dengan perbuatan-perbuatan diluar tabii Islam.